Konsep transformasi PMS merangkumi perubahan sistemik yang menjurus kepada pewujudan institusi pilihan, penghasilan siswazah yang menepati kehendak pasaran (employable graduates) dan pembinaan persepsi positif dalam kalangan masyarakat terhadap pendidikan politeknik. Aspek yang dicakupi melibatkan pemerkasaan dasar, penambahbaikan reka bentuk proses, penyampaian dan penilaian program, penyampaian kurikulum yang mantap, penjaminan kualiti program, pembangunan tenaga pengajar yang kompeten, pelajar yang berkualiti, sumber dan kemudahan yang lengkap dan usaha inovasi yang berterusan.
PMS mempunyai peranan yang khusus untuk menangani perubahan ekosistem pengajian tinggi negara yang bukan sahaja memerlukan modal insan berilmu tinggi tetapi juga mempunyai kemahiran pada peringkat tinggi. Negara perlu meningkatkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 23% kepada 37% menjelang tahun 2015. Justeru, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) perlu diarusperdanakan sebagai langkah merealisasi sasaran negara termasuk meningkatkan imej TEVT pada pandangan masyarakat. Justeru itu seluruh warga PMS disarankan supaya bersama-sama menggembeling tenaga agar matlamat ini dapat dicapai.
No comments:
Post a Comment